Sunday, 6 March 2011

GADIS DAN PUISI LARA


Sunyi.. malam ini malam mati..

Sebuah rumah papan di tepi sungai kelihatan senyap.
Ada cahaya bersinar sebaik jendela dibuka. Si Gadis duduk di birainya,
melangu di balik tirai melakar kata..

Puisi ini puisi lara..
aku habisi dengan air mata,
aku tangisi dengan sakit tiada tara,
padamkan jika yg kau lihat - api,
siramkan jika yg kau rasa - kemarau..

Puisi ini puisi sengsara..
aku lukiskan dgn dakwat hiba,
aku nyanyikan dgn melodi derita,
tutupkan lagu bila yg kau rasa - pilu,
gubahkan liriknya jika kau terasa sendu..

Puisi ini puisi sepi..
aku lagukan dengan nada bisu,
aku siulkan dengan not-not rindu,
tutupkan telinga kerana lirihku sumbang,
pejamkan mata kerana rupaku rompong..

Puisi ini puisi air mata..
aku.. 

nyata si Gadis tidak mampu menghabisi apa yg telah dimulai..
kertas dikeronyok, dikeramas kuat.
Air mata jatuh semahunya. Malang, air matanya terlalu murah,
biar berjuta titis dikutip, masih tidak cukup buat membeli walau hanya secebis cinta.

sambil menahan nafas dan sendu, kertas ronyok dicampak jauh.
Dia berharap keluhannya sampai ke bulan..

_________________________________________________________  @@@

Gadis itu menapak di atas batu-batu sungai.
Batu yg tajam menusuk kaki bogelnya tidak dihirau,
sakit itu tidak apa-apa jika dibanding rasa sakit hatinya.
Atau sahaja dia memang begitu? sudah mati hati dan jiwa,
sudah tidak mampu mengecapi apa-apa rasa..
Mentari pagi yg terik pun tidak mematah semangatnya utk bermenung di situ.

Matanya terpaku pada kolek yg teroleng di tepi rumpun buluh,
di dalamnya ada sekeronyok lembaran kertas.
Dia tahu itu kertas yg dicampak semalam,
dia juga tahu kertas itu langsung tidak sampai ke bulan.

Kolek kembali ditenung.
Kolek itu hampir hancur. Kayu-kayu yg dulunya kuat sudah pecah-pecah,
paku-paku sudah berkarat, badannya tidak lagi kukuh,
lantainya saja sudah rapuh..
kerana itu, kolek hanya tersadai di tepi sungai.

Matanya tiba-tiba terlihatkan ukiran di badan kolek -
ada namanya di situ. Kolek itu diberikan sempena namanya..
Kata babah, kolek itu dibina untuknya.
Menjelang kelahirannya, kolek itu disiapkan dan diukir dgn namanya.
Kata babah lagi, dalam banyak-banyak perahu yg pernah dibina,
kolek itu yg terbaik yg pernah diciptanya. Kolek itu yg plg sempurna.

Dia membesar dengan si kolek.. kolek itu teman baiknya.
Sehinggalah umurnya beranjak beberapa tahun, babah meninggalkannya.
Tidak tahu, babah ke mana.. tapi babah sudah tidak mempedulikannya.
Mujur, masih ada sang ibu. Kasih sayangnya tumpah hanya untuk wanita itu, dan pada si kolek,
si kolek yang berkongsi nama dan rasa dengannya..
Selama itu juga, dia membesar menjadi Gadis yg muram,
yg lebih banyak berdiam dari berkata, kecuali bila dia berkata-kata dengan hatinya.
Temannya tiada lain, cuma kolek.. ya, kolek satu-satunya.. rindunya pada babah pun terubat krn kolek ada dengannya.

Sembilan belas tahun usianya, dia mula belajar menganyam cinta..
Kolek sudah tidak dihiraukan, dan perlahan-lahan sayang pada kolek berubah menjadi dendam.
Dia menjadi benci pada kolek kerana kolek terbina dgn kasih-sayang babah,
dan kalau benar babah sayangkannya, kenapa babah tergamak membuang dirinya?
adakah benar babah sayang spt yg dikatakan atau itu semua palsu belaka?
kasih sayang yg dihulurkan Jejaka dengan mudah membuatkan dia meluat pada si kolek.
Buat pertama kalinya, Gadis membenarkan orang lain selain dirinya menceroboh si kolek,
jika dulu, dia cukup berang jika sesiapa cuba-cuba menginjakkan kaki ke atas kolek,
tapi kini dia sendiri turut serta bila Jejaka menginjak-injak kolek.
Diizinkan Jejaka mengemudi kolek, tapi Jejaka cuma tahu berjanji.
Lagi-lagi, Jejaka tidak ke mana-mana, cuma suka memijak-mijak dan bersuka-suka atas kolek.

Bertahun-tahun dengan Jejaka menyedarkan Gadis bahawa semakin lama, semakin jauh kolek dikemudi,
tapi mereka tidak pernah tiba ke destinasi.. Lantas, Gadis berasa jemu dan bosan,
Jejaka diturunkan dan ditinggalkan di tepian.

Gadis mengambil-alih mengemudi, mendayung kolek dan menumpangkan ramai lagi Teruna dan Pemuda..
Tak terbilang ramainya, lagi-lagi kesemuanya juga sama.
Semuanya hanya tahu menginjak-injak si kolek, semuanya cuma tahu memusnahkan dan menjahanamkan.
Itu belum lagi bila dilambung badai dan dihempas ombak,
kesemuanya menjadikan Gadis lelah dan menyerah.
Kini, di usia yang mencecah dua puluh enam, Gadis berpatah-pulang.
Berputus asa untuk ke destinasi dan sudah serik mencari nakhoda buat si kolek.
Gadis kembali ke tempat asal di mana dia bermula. Tapi dia tahu dia telah terlambat,
kolek telah hancur.. kolek telah lunyai.. kolek telah punah dihempas badai dan dilatam Sang Jantan berhati hitam.
Kolek sudah tidak molek..

Kerana itu, setelah sekian lama, kolek hanya tertambat mereput di sudut rerumpun buluh.

Gadis menghampiri kolek. Kaki yg mengecut di dalam sejuk arus sungai tidak dihirau.
Tadi malam, selepas menangis sepuasnya, Gadis sempat tertidur dan bermimpi.
Di dalam mimpinya, Gadis ternampak seorang Pendeta.
Pendeta itu cuma insan biasa, menjalani kehidupannya juga seperti biasa.
Tapi cukup waktu, si Pendeta melagukan ajak-ajakan ke arah kejayaan,
si Pendeta juga berdiri di barisan hadapan, mengepalai anak-anak kecil dan yg dewasa,
tunduk dan merebahkan diri pada Tuan Besar yang sedang memerhatikan..

Kerana mimpi itu, si Gadis mulai harinya dengan harapan..
Biarpun tidak tahu apa yg perlu dilakukan, si Gadis tak berhenti berdoa agar mimpinya bukan khayalan.

Si Gadis jadi teringat : Kalau kamu impi ke mana-mana, hatta ke bulan sekalipun,
khabarkan pada si kolek, mana tahu kalau-kalau dia boleh bawa kamu ke sana..
Itu yg pernah babah pesan suatu masa dulu. Ya, Gadis tahu apa yg perlu dilakukan!

Si Gadis mengambil sebiji botol, melipat kertas ronyok dengan baik,
lantas disumbatkan lipatan itu ke dalam botol. Botol diikat pada seketul batu besar,
yang kemudiannya ditambat pada badan si kolek. Gadis mencium kolek dengan diiring air mata,
dan Gadis melepaskan kolek perlahan-lahan, membawa isinya, hatinya, dan membawakan harapan..
Gadis kemudian melambai-lambai si kolek dengan senyuman..

------------------------------------------------------------------------- @@@

Telah lepas tiga purnama kolek pergi..

Pendeta melepaskan lelah di tepi sungai,
setelah seharian berkeringat di warung melayan pelanggan.

Pendeta meniup seruling.. sayu sekali bunyinya,
malam yg sepi semakin syahdu dek tiupannya.
Pendeta menghembus nafas derita,
Pendeta melagukan muzik redha..

Pendeta tiba-tiba menghentikan mainan,
Pendeta ternampak kolek yg kehilangan tujuan,
Pendeta menarik tali si kolek dan tambat di tepian.
Pendeta membuka tutup botol dan mengeluarkan lembaran pesan-pesanan..

Pendeta kembali duduk di batuan sungai,
Pendeta memainkan kembali tiupan diiringi hujan renyai.

Di dalam mimpi Gadis,
Sang Pendeta berubah menjadi Sang Putera,
Sang Putera membaik-pulih sang kolek menjadi semoleknya,
dan Sang Putera menyudahi Syair Sengsaranya..

dan pada Tuhan, Gadis memanjatkan doa agar Sang Putera itulah Imamnya..

Hatilukajadipuisi,
Ezureen Binti Azmi,
5.12 a.m
22 Januari 2011


p/s from blogger : Speachless....:0

No comments:

Post a Comment